Sunday, February 20, 2011

KEISTIMEWAAN SEJAK KECIL

Abdul Muthalib sangat dihormati di seluruh Jazirah Arab. Dia merupakan seorang pemimpin tertua di kalangan kaum Quraisy dan juga berkuasa ke atas Ka’abah.

Sehamparan permaidani disediakan untuknya di Ka’abah. Tiada sesiapa pun yang berani duduk di atasnya walaupun anak-anaknya sendiri.

Kedudukannya menjadi tauladan kepada masyarakat Arab ketika itu. Namun cucunya – Muhammad SAW telah mendapat beberapa keistimewaan melebihi anak-anaknya sendiri dan cucu-cucunya yang lain.

Semasa di Ka’abah, Muhammad sering berlari-lari ke arah datuknya. Memandangkan Abdul Muthalib adalah seorang pemimpin yang disegani, Baginda telah dihalang oleh bapa-bapa saudaranya. Namun Abdul Muthalib melarang perbuatan mereka itu dengan berkata, “Biarkan dia duduk di sampingku.”

Ini menyebabkan mereka kehairanan dan terfikir mungkin suatu hari nanti anak itu akan menjadi pemimpin seperti datuknya.

Abdul Muthalib mempunyai beberapa sebab mengapa Muhammad begitu dimanjakan. Muhammad adalah anak yatim piatu. Ayahnya, Abdullah adalah anak Abdul Muthalib yang paling disayangi. Abdullah hampir menjadi korban nazar ketika kecilnya. Sebagai penebusnya, 100 ekor unta telah disembelih sebagai ganti.

Sewaktu Nabi Muhammad SAW masih dalam kandungan, ayahnya pergi mengikuti satu rombongan perdagangan menuju Syam. Perdagangan ini dirintis oleh Abdul Muthalib. Namun Abdullah meninggal dunia sebelum sempat pulang ke Mekah. Sebab itulah Abdul Muthalib merasa bersalah di atas kematian anaknya itu.

Kemudian ibu Nabi Muhammad SAW, Siti Aminah pula meninggal dunia ketika baginda berumur enam tahun. Kini, Abdul Muthaliblah yang mejadi pelindung dan tempat berhibur Nabi Muhammad SAW sewaktu kecil.

Ketika usia Abdul Muthalib semakin tua, dia telah sakit kuat. Nabi Muhammad SAW dengan sabar telah menjaga datuknya. Abdul Muthalib telah berpesan kepada anaknya supaya memelihara cucunya itu setelah pemergiannya nanti.

Abdul Muthalib meninggal dunia ketika berusia 80 tahun. Hari itu seluruh Mekah telah berkabung dan kota menjadi sepi.

Inilah antara kesedihan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW sejak kecil lagi. Ia menjadikan baginda berjiwa tabah dalam mendidiknya sebagai pemimpin yang terkemuka.

Wednesday, February 16, 2011

PEROMPAK YANG BERTAUBAT

Fudhail bin Iyadh adalah seorang perompak. Dia sangat ditakuti oleh pedagang-pedagang yang menggunakan padang pasir sebagai tempat laluan. Setiap hari dia akan merompak dan merampas harta-harta dari kafilah-kafilah yang melintasi padang pasir itu. Malah kadang kala dia turut membunuh mangsa rompakannya.

Fudhail mempunyai seorang kekasih yang merupakan seorang jariah (hamba). Suatu malam, dia telah berjanji untuk bertemu dengan kekasihnya di sebuah rumah.

Dalam perjalanan menuju ke tempat yang dijanjikan itu, tiba-tiba ketika melintasi sebuah rumah, Fudhail terdengar orang membaca sesuatu seperti syair. Fudhail terhenti.

Dia ingin mengetahui siapa yang membaca syair tersebut. Dari sebuah lubang kecil, dia mengintai. Kelihatan seorang lelaki sedang membaca ayat-ayat suci Al Quran. Fudhail turut meneliti ayat-ayat yang dibaca itu.

Sampai kepada ayat yang bermaksud :

Belumkah tibanya masa bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah dan tunduk kepada kebenaran.” (Al Hadid : 16)

Sejurus mendengar ayat tersebut, hati Fudhail tersentuh.

Hatinya mula gementar dan matanya menitiskan air mata keinsafan. Dia mula sedar akan kejahatan dan kesalahannya selama ini. Dia merintih kepada Tuhan agar diampuni akan segala dosanya.

Lalu dia pun berjalan dengan tiada tujuan di dalam kegelapan malam yang dingin. Dia melupakan janjinya untuk bertemu kekasihnya. Sehinggalah sampai ke satu pondok yang telah roboh. Fudhail duduk di situ dan terus menangis mengenangkan segala dosanya.

Ketika di dalam kesedihan itu, tiba-tiba Fudhail terlihat cahaya api. Dia bangun untuk melihatnya dengan lebih jelas.

Apa yang dilihatnya itu adalah unggun api yang datang daripada sekumpulan kafilah yang sedang berhenti rehat. Perlahan-lahan Fudhail menghampiri kafilah tersebut. Ada di kalangan anggota kafilah yang telah tidur dan sebahagian lagi sedang berbual.

Fudhail ingin menumpang kehangatan api bagi membuang rasa dingin malam. Ketika itu dia mendengar beberapa orang sedang berbual mengenai seorang perompak yang terkenal dengan keganasannya. Mereka merasa bimbang sekiranya bertemu dengan perompak tersebut.

Perasaan Fudhail amat tersentuh tatkala mendengar perbualan tersebut. Dia sedar bahawa perompak yang sedang diperkatakan itu adalah dirinya sendiri. Dia semakin menyesal dan semakin merasa berdosa. Dia dapat merasakan betapa orang ramai sangat gentar kepadanya.

Fudhail berazam akan meninggalkan pekerjaan jahatnya dan dia segera berangkat ke Baitul Haram. Dia ingin menetap di sana dan membuat perubahan demi kebaikan.

Suatu hari sedang dia melakukan tawaf, seseorang menegurnya. Lelaki itu bertanyakan adalah dirinya itu Fudhail – perompak yang terkenal itu.

Fudhail amat terkejut dengan pertanyaan itu. Masih ada orang yang mengenalinya. Fudhail mengangguk.

Lelaki tersebut merasa hairan bagaimana Fudhail boleh berubah. Fudhail bertanya kembali kepada lelaki itu, bukankah dia juga boleh bertaubat dan mengubah sikapnya?

Fudhail akhirnya menjadi seorang wali yang terkenal. Dia juga banyak mengarang kitab.

Friday, February 11, 2011

GOLONGAN YANG SENTIASA MENANG

Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang sentiasa berjaya (dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai suatu saat yang dikehendaki oleh Allah SWT. Mereka sentiasa berjaya”.

Hadis Riwayat Bukhari

KETERANGAN :

Allah SWT telah menjadikan umat Islam ini sebagai umat yang terakhir. Oleh itu Allah SWT berjanji akan memelihara kitabNya (Al Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin di muka bumi ini.

Kalau kita teliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya sehingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat. Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah, seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Moghul dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamadun Baghdad pada pertengahan abad ketujuh Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai kaum Muslimin ketika kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan mubaligh Nasrani yang mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak dan seterusnya serangan dari segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya. Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih juga mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia hari ini.

Walaupun di hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka namun masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya. Walaupun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar Islam diinjak-injak di sebahagian tempat tetapi di tempat lain syiar Islam masih lagi gagah dan teguh. Walaupun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa pada suatu tempat namun di tempat lain mereka akan disanjung dan dihormati. Begitulah seterusnya. Umat Islam tidak akan lenyap dari muka bumi ini sehinggalah tiba pada masa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Maka pada masa itu Allah SWT akan mematikan semua orang-orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal itu hanyalah orang-orang yang jahat atau kafir, maka pada saat itulah akan berlaku kiamat.


Setiap zaman dan juga tempat,

Mestilah wujud pembela umat,

Walau pelbagai rintangan menghambat,

Tetap berjaya tidak tersekat.


Kepada Allah syukur dipanjat,

Memilih kita sebaik umat,

Penyebar ilmu, pembawa rahmat,

Hidup kita membawa berkat.

Wednesday, February 9, 2011

KISAH IBU IMAM HANAFI

Imam Abu Hanifah adalah pengasas Mazhab Hanafi. Nama sebenarnya ialah An Nu’man.

Khalifah Marwan telah meminta Imam Abu Hanifah menerima jawatan sebagai kadhi. Namun Imam Abu Hanifah telah menolaknya dan ini telah mendatangkan kemarahan pihak pemerintah. Oleh itu dia telah ditangkap dan diseksa.

Setelah dibebaskan, Imam Abu Hanifah berkata, “Aku lebih bimbangkan keadaan ibuku sehingga mengatasi pukulan di kepalaku.”

Ini disebabkan Imam Abu Hanifah sangat menghormati dan mentaati ibunya. Ketaatan selepas Allah dan RasulNya.

Ibunya pernah bertanyakan suatu hukum mengenai permasalahan ibadah. Maka Imam Abu Hanifah pun memberikan penjelasan yang sewajarnya. Namun ibunya tidak berpuas hati dan berkata, “Aku tidak mahu menerima fatwa dari sesiapa pun kecuali Za’rah Al Qas.”

Ibunya meminta dihantarkan ke rumah Za’rah Al Qas. Imam Abu Hanifah yang sangat menghormati ibunya hanya menuruti dengan patuh.

Imam Abu Hanifah berkata kepad Za’rah, “Ibuku meminta fatwa daripadamu.”

“Mengenai apa?” tanya Za’rah.

“Mengenai hukum-hukum beribadah,” jawab Imam Abu Hanifah.

“Bukankah tuan lebih mengetahui berbanding saya?” tanya Za’rah kembali.

“Benar. Tetapi ibuku tidak mahu menerima jawapanku. Dia hanya mahu mendengar jawapan darimu.”

“Kalau begitu, fatwaku sama dengan jawapan tuan,” jawab Za’rah.

Imam Abu Hanifah pun memberi fatwa yang dikatakan dari Za’rah Al Qas mengikut pendapatnya sendiri. Dengan itu barulah dia dapat memuaskan hati ibunya.

Imam Abu Hanifah juga menceritakan bahawa dia sering menghadiri majlis Umar bin Zar untuk bertanyakan berbagai persoalan hukum atas permintaan ibunya. Umar bin Zar kehairanan mengapa dia berbuat demikian. Jawab Imam Abu Hanifah, “Ibuku yang menyuruhku agar bertanya kepadamu.”

“Bukankah tuan lebih mengetahui?” tanya Umar bin Zar.

“Benar. Tetapi membantah perintah orang tua adalah berdosa besar,” jawab Imam Abu Hanifah.

Maka Umar bin Zar pun berkata, “Kalau begitu, beritahulah jawapanmu supaya aku dapat menjawab pertanyaan ibumu itu.”

Lalu Imam Abu Hanifah pun memberikan jawapannya. Umar bin Zar mendengar dengan teliti. Jawapan itulah yang diberikan kepada ibu Imam Abu Hanifah yang sebenarnya merupakan fatwa Imam Abu Hanifah sendiri.

Sunday, February 6, 2011

PENJUAL KIPAS

Suatu ketika dahulu, ada seorang penjual kipas. Kipasnya diperbuat daripada bulu-bulu burung. Kipasnya ini dijual di pasar dan sangat laris terutamanya dibeli oleh isteri pembesar-pembesar.

Beberapa lama kemudian, dia tidak lagi kelihatan menjual kipasnya di pasar. Sahabatnya tertanya-tanya ke mana dia pergi menghilangkan diri atau mungkin dia telah jatuh sakit.

Pada suatu hari, seorang sahabat karibnya telah mengunjungi rumahnya untuk mengetahui keadaan yang sebenar. Setelah memberi salam dan meminta izin untuk masuk, dia pun bertanya, “Mengapakah engkau tidak lagi kelihatan di pasar? Apakah yang menyebabkan engkau tidak lagi ke sana?”

Maka penjual kipas itu pun bercerita mengenai suatu peristiwa yang telah berlaku kepadanya. Seperti biasa dia menjual kipasnya di pasar Baghdad. Namun hari itu tiada satu pun kipasnya yang laku. Oleh itu dia menjual kipasnya dengan berjalan-jalan di sekitar bandar itu dan memasuki lorong-lorong rumah para menteri.

Sedang dia berjalan-jalan, tiba-tiba dia terlihat seorang gadis berada di pintu rumah yang besar. Gadis itu bertanya apa yang sedang dibawanya. Setelah dinyatakan bahawa dia menjual kipas, maka dia dijemput masuk ke dalam rumah untuk melihat dengan lebih dekat akan barangannya.

Sebaik sahaja dia berada di dalam, pintu rumah telah dikunci dengan segera oleh pembantu rumah. Di hadapannya terdapat pelbagai perhiasan emas dan perak.

Kemudian datang seorang perempuan cantik yang berhias indah dengan memakai bau-bauan yang mengharumkan. Penjual kipas itu terus memejamkan mata kerana bimbang dengan godaan perempuan cantik itu.

Dengan suara menggoda, perempuan cantik itu berkata, “Selamat datang wahai orang muda. Sudilah tinggal bersama kami sebagai tetamu selama tiga hari.”

Penjual kipas itu menyedari bahawa ini adalah satu perangkap. Dia cuba untuk melepaskan diri dari rumah itu. Setelah berfikir, maka dia pun memohon izin untuk ke tandas. Mungkin dengan cara ini ada peluang baginya untuk melarikan diri.

Permintaannya itu dibenarkan tetapi mesti ditemani orang lain. Pembantu rumah itu menunjukkannya sebuah bilik. Setelah pembantu itu pergi, penjual kipas tersebut segera menutup pintu dan mencari jalan. Dia memanjat ke arah bumbung. Setelah berada di atas bumbung, dia melihat ke bawah. Terasa hilang semangatnya kerana tingginya bangunan itu.

Dia pun mengangkat wajahnya ke langit sambil berseru, “Ya Tuhanku, tiada perkara yang tersembunyi dari pengetahuanmu. Baiklah aku mati dari melakukan maksiat terhadapMu.”

Penjual kipas terus terjun dari bangunan tinggi itu. Tiba-tiba dia disambut oleh malaikat menggunakan sayap sehingga sampai ke rumah.

Dia merasa amat bersyukur kepada Allah kerana telah menyelamatkannya dari godaaan perempuan dan terselamat dari jatuh. Akibat kejadian itu, dia telah berazam tidak akan keluar dari rumah sehingga akhir hayat.

“Sebab itulah aku tidak lagi ke pasar,” dia mengakhiri ceritanya.

Sejak itu dia telah mengasingkan diri di dalam sebuah bilik di rumahnya. Dia sentiasa beribadah dan berzikir kepada Allah.

Tuesday, February 1, 2011

GOLONGAN ANTI HADIS

Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku maka dia berkata : “Pegangan kami dan kamu hanyalah Kitabullah (Al Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al Quran maka kami halalkan. Dan apa yang diharamkan oleh Al Quran maka kami haramkan”. (Kemudian Nabi SAW melanjutkan sabdanya). “Pada hal apa yang diharamkan oleh Rasulullah SAW, samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah SWT.”

Hadis Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah

KETERANGAN :

Lelaki yang dimaksudkan di dalam Hadis ini ialah seseorang yang mengingkari kedudukan Hadis sebagai sumber hukum kedua selepas Al Quran. Dia hanya percaya kepada Al Quran sahaja. Baginya, Hadis tidak perlu dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar daripada ikatan Islam. Dan pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahami Al Quran tanpa merujuk kepada Hadis Nabi SAW. Al Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka Hadislah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayatnya serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna jika hanya dengan Al Quran sahaja, tetapi ianya mesti disertai dengan Hadis Nabi SAW.



Al Quran itu kalam Ilahi,

Pedoman hidup kekal abadi,

Hadis Junjungan jangan dinafi,

Tempat kedua pedoman suci.



Ulama salaf jadi ikutan,

Banyak mengarang berbagai ‘Sunan’,

Jadikan ia sebagai pegangan,

Janganlah ia kita abaikan.