Friday, April 22, 2011

BERHIJRAH KE HABSYAH

Kedudukan kaum Muslimin di Mekah semakin terancam. Setiap hari kafir Quraisy sentiasa mengganggu dengan pelbagai kesusahan terutama kepada golongan bawahan.

Apabila hal ini berterusan, akhirnya Rasulullah SAW membenarkan kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah. Raja Habsyah ketika itu adalah seorang Kristian. Namun dia tidak memusuhi kaum Muslimin. Dia dikenali dengan sifat penyayangnya.

Hijrah pertama ini terjadi di bulan Rejab iaitu setelah lima tahun keRasulan. Golongan yang berhijrah ini terdiri daripada 12 lelaki dan lima perempuan. Mereka telah dikejar oleh pihak Quraisy namun berjaya melepaskan diri dan tiba di Habsyah dengan selamat.

Tidak lama kemudian kaum Muslimin mendengar berita bahawa pihak Quraisy telah menerima mereka kembali dan juga ajaran Islam. Oleh itu, mereka memutuskan untuk pulang semula ke Mekah kerana kota itu telah kembali aman. Namun sebelum mereka memasuki kota Mekah, mereka mendapat tahu bahawa berita yang didengari ketika di Habsyah dahulu adalah tidak benar.

Jadi sebahagian daripada kaum Muslimin terpaksa pulang semula ke Habsyah dan sebahagian lagi terpaksa masuk ke kota Mekah dengan mendapat perlindungan dari orang-orang yang berpengaruh.

Selepas kejadian itu, satu rombongan lagi berhijrah ke Habsyah. Hijrah kedua ini disertai lebih ramai kaum Muslimin iaitu 83 lelaki dan 18 perempuan.

Puak kafir Quraisy sangat marah apabila mengetahuinya. Mereka telah menghantar satu rombongan ke Habsyah dengan membawa pelbagai jenis hadiah untuk diberikan kepada raja, pembesar dan paderi-paderi Kristian Habsyah. Setelah tiba di sana dan sujud di hadapan raja, mereka menyerahkan hadiah-hadiah itu dan berkata :

“Tuanku, segolongan orang-orang kami telah meninggalkan agama nenek moyang mereka. Mereka telah menganut agama baru. Kaum keluarga mereka telah mewakilkan kami untuk membawa mereka pulang semula ke Mekah. Oleh itu kami meminta kebenaran tuanku supaya kami dapat membawa mereka semua pulang.”

Raja Habsyah menjawab, “Kami tidak dapat menyerahkah orang-orang yang diminta itu begitu sahaja tanpa usul periksa. Biarlah kami memeriksa mereka terlebih dahulu dengan mendengar hujah-hujah mereka. Sekiranya tuduhan kamu benar, barulah kami akan serahkan mereka kepada kamu.”

Raja Habsyah pun memerintahkan supaya kaum Muslimin itu dihadapkan di hadapannya. Kaum Muslimin mula merasa resah. Sebaik sahaja mereka tiba di hadapan raja, mereka mengucapkan salam.

Mereka dimarahi oleh seorang pengawal kerana tidak sujud sebagaimana adat orang-orang Habsyi. Namun mereka menjelaskan, “Rasulullah SAW melarang sujud kepada sesiapa pun kecuali Allah SWT.”

Setelah itu Raja Habsyah memerintahkan mereka supaya memberikan hujah-hujah bagi membela diri. Saidina Jaafar r.a bangun dan berkata :

“Tuanku, sebelum ini kami adalah manusia jahil. Kami tidak mengenal Allah dan RasulNya. Kami menyembah batu, memakan bangkai dan melakukan pelbagai kejahatan dengan sesuka hati. Siapa yang kuat akan menindas yang lemah.

Kemudian lahirlah seorang nabi yang membawa pembaharuan dalam kehidupan kami. Akhlaknya yang mulia, lurus dan kehidupannya yang bersih memang telah diketahui umum. Baginda menyeru kami supaya menyembah Allah dan meninggalkan segala perbuatan syirik. Baginda mengajar kami perbuatan makruf dan melarang kami melakukan perkara mungkar. Baginda mengajar kami supaya bercakap benar, menunaikan amanah, menghormati kaum kerabat dan jiran.

Daripada Baginda, kami belajar bersolat, berpuasa, berzakat dan berakhlak mulia. Kami diajar supaya menjauhi pergaduhan dan pertumpahan darah. Baginda melarang berzina, berbohong, memakan harta anak yatim secara haram, memfitnah dan lain-lain keburukan. Baginda mengajar kami Al Quran yang merupakan kitab yang agung.

Oleh itu, kami percaya kepadanya dan menerima ajaran yang dibawanya. Dengan sebab inilah kami diganggu dan diseksa supaya kami kembali kepada keadaan kami dahulu. Apabila kezaliman semakin berleluasa, kami memohon izin nabi kami untuk berlindung di bawah tuanku di sini.”

Raja Habsyah berkata, “Bacakanlah Al Quran sebagaimana yang telah kamu pelajari dari nabi kamu.”

Saidina Jaafar membaca ayat pada permulaan surah Maryam. Ayat-ayat ini amat menyentuh hati sehingga menitiskan air mata orang yang mendengar.

“Demi Allah! Ini adalah dari perkataan-perkataan yang diturunkan kepada Musa dan datang dari sumber cahaya yang sama,” seru Raja Habsyah.

Sambungnya, “Beta tidak dapat menyerahkan orang-orang Islam ini kepada kamu.”

Orang-orang kafir Quraisy merasa sungguh malu. Namun peristiwa ini tidak melemahkan semangat mereka. Mereka kemudiannya berkumpul dan berbincang untuk berbuat sesuatu yang akan menimbulkan kemarahan raja terhadap kaum Muslimin. Tetapi tidak semua ahli rombongan yang bersetuju. Mereka bimbang keselamatan orang-orang Islam akan terancam dan seterusnya tidak dapat dibawa pulang ke Mekah.

Esoknya puak Quraisy telah menghadap raja sekali lagi. Mereka memutuskan untuk menyatakan bahawa orang-orang Islam itu tidak mempercayai bahawa Isa itu anak Tuhan. Apabila orang-orang Islam itu dibawa ke hadapan raja dan diminta membuat penjelasan mengenai hal itu, mereka menjawab :

“Kami percaya dengan firman Allah yang disampaikan melalui nabi kami mengenai Isa iaitu dia hanyalah seorang hamba dan utusan Allah. Kami juga percaya dengan firman Allah yang telah disampaikan kepada Maryam.”

Raja Habsyah lalu berkata, “Begitu juga dakwah Isa mengenai dirinya.”

Apabila paderi mendengar kata-kata raja, mereka membantah namun tidak dihiraukan. Raja Habsyah mengembalikan semula segala hadiah yang diberi oleh orang-orang Quraisy. Raja telah menjamin keselamatan dan perlindungan untuk kaum Muslimin.

Orang-orang kafir Quraisy pulang ke Mekah dengan perasaan yang amat malu. Kejadian ini telah menyebabkan kemarahan yang semakin membara terhadap orang-orang Islam. Lebih-lebih lagi apabila tidak lama kemudiannya, Umar Al Khattab pula telah memeluk Islam.

Suatu mesyuarat telah diadakan. Tujuan utama adalah untuk membunuh Rasulullah SAW yang menjadi punca permasalahan. Namun begitu, pembunuhan ini bukan mudah untuk dilakukan. Rasulullah SAW yang berasal dari Bani Hasyim adalah kaum yang berpengaruh. Ahli-ahli keluarganya walaupun tidak semua yang memeluk Islam tetapi tidak akan berdiam diri sekiranya orang-orang mereka dibunuh.

Pengisytiharan pemulauan terhadap Nabi Muhammad SAW dan Bani Hasyim telah ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin Quraisy. Dokumen pengisytiharan digantung di Kaabah. Pemulauan ini berkuatkuasa selama tiga tahun. Nabi Muhammad SAW dan Bani Hasyim telah terkepung dan tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang urusan perniagaan dengan orang-orang lain meskipun dengan pedagang-pedagang asing. Mereka yang membantu akan diseksa.

Keadaan ini telah mengakibatkan penderitaan dan kebuluran. Namun ada yang membantu melalui penyeludupan oleh mereka yang telah berkahwin dengan wanita-wanita Bani Hasyim. Namun Rasulullah SAW dan para pengikutnya tetap teguh dalam beriman kepada Allah dan terus menyebarkan dakwah dengan tidak putus asa.

Setelah tiga tahun, dokumen yang digantung akhirnya reput dimakan anai-anai. Maka dengan sendirinya pemulauan terhadap Bani Hasyim terbatal. Bani Hasyim dan orang-orang Islam yang lain dapat menjalani hidup kembali seperti biasa.

Wednesday, April 20, 2011

SIFAT AMANAH AKAN HILANG SEDIKIT DEMI SEDIKIT

Daripada Huzaifah bin Al Yaman r.a katanya : “Rasulullah SAW pernah memberitahu kami dua buah Hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah SAW memberitahu bahawasanya amanah itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah Al Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan Al Quran dan mengetahui melalui panduan As Sunnah. Selanjutnya Rasulullah SAW menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, lalu Baginda bersabda, “Seseorang itu tidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekas seperti lepuh di tangan (mengelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gilingkan dengan kakimu dan kemudian mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, pada hal tidak ada apa-apa”. Di ketika Rasulullah SAW menceritakan Hadis ini, Baginda mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) lalu menggilingkannya dengan kakinya.

“Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikata orang bahawasanya di kalangan bani Fulan (di kampong yang tertentu) itu ada orang yang sangat baik memegang amanah, sangat dipercayai dan orang ramai mengatakan, “Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah cerdik pula otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tidak ada lagi keimanan sekalipun hanya seberat timbangan biji sawi.”

“Maka sesungguhnya telah sampai masanya, saya pun tidak mempedulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau dia seorang Islam, maka agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat. Dan jikalau dia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan mengembalikannya kepadaku (maksudnya jika dia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan / pemerintahlah yang dapat membantu aku mendapatkan semua hak-hakku daripadanya). Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)”.

Hadis Riwayat Bukhari Muslim

KETERANGAN :

Hadis ini menunjukkan bahawa sifat amanah akan hilang secara beransur-ansur dari kalangan kaum Muslimin, sehinggalah tiba suatu saat nanti orang yang dianggap baik untuk menjaga amanah pun telah khianat pula.

Begitulah gambaran masyarakat kita hari ini. Ramai daripada kita terpedaya oleh seseorang yang pada zahirnya kelihatan seperti boleh memikul amanah tetapi sebenarnya dia juga telah berlaku curang.


Sifat amanah nanti akan hilang,

Dari kalangan orang terbilang,

Tipu menipu tiada sumbang,

Nasib dunia bertambah malang.


Wahai eloknya bila dilihat,

Zahirnya cantik berkilat-kilat,

Hatinya curang, lidah berlipat,

Sifat amanah telah diangkat.

Tuesday, April 19, 2011

RANTAI PENEBUS

Zainab merupakan anak perempuan Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan 10 tahun sebelum Baginda diangkat menjadi Rasulullah SAW. Setelah dewasa, dia dikahwinkan dengan sepupunya yang bernama Abdul Aus bin Rabi.

Ketika Perang Badar, suami Zainab menyebelahi tentera Quraisy. Dia telah dapat ditawan oleh tentera Islam. Apabila pihak kafir Quraisy membayar tebusan untuk mendapatkan kembali orang-orang mereka yang telah ditawan, Zainab telah menggunakan seutas rantai untuk menebus suaminya.

Rantai itu diperolehi Zainab daripada ibunya, Siti Khadijah ketika berkahwin. Apabila Rasulullah SAW melihat rantai itu, Baginda terkenangkan isterinya yang telah pergi sehingga menitis air mata.

Rasulullah SAW mengadakan rundingan dengan sahabat-sahabatnya supaya rantai itu dikembalikan kepada Zainab. Suaminya dibebaskan tanpa tebusan tetapi dengan suatu syarat iaitu setelah dia pulang ke Mekah, dia perlu menghantar Zainab ke Madinah.

Dua orang pengiring telah dihantar untuk membawa kembali Zainab ke Madinah dengan selamat. Abdul Aus meminta adik lelakinya, Kananah membawa Zainab keluar dari kota Mekah dan menyerahkannya kepada para pengiring itu.

Sedang Zainab dan Kananah menunggang unta menuju ke tempat yang dijanjikan, mereka telah dihalang oleh pihak Quraisy. Sepupunya, Habar bin Aswad telah membalingkan tombak dan terkena Zainab sehingga mencederakannya dan terjatuh dari unta yang ditunggangnya.

Ketika itu Zainab sedang hamil dan kejadian ini telah menyebabkan dia keguguran. Kananah memanah kembali pihak Quraisy yang telah menyerang mereka.

Abu Sufyan yang ada ketika itu telah berkata, “Kami tidak dapat melepaskan anak perempuan Muhammad meninggalkan Mekah dengan sewenang-wenangnya. Biarlah dia pulang dahulu dan kemudian engkau boleh menghantarnya secara rahsia.”

Kananah setuju. Zainab dihantar ke Madinah selepas beberapa hari. Dia telah menderita lama akibat kesakitan yang dialaminya sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun yang sama iaitu lapan hijrah.

Ketika kematian Zainab, Rasulullah SAW berkata, “Dia adalah anak perempuanku yang paling baik kerana dia telah banyak menderita di jalan Allah.”

Rasulullah SAW sendiri yang mengebumikan anaknya itu. Baginda kelihatan sungguh pilu ketika meletakkan anaknya itu ke dalam kubur dan mula tenang setelah keluar darinya.

Apabila para sahabat bertanya, Baginda menjawab, “Memandangkan kelemahan yang dihadapi oleh Zainab, aku telah berdoa kepada Allah SWT supaya dihapuskan seksaan-seksaan kubur ke atasnya. Sesungguhnya doa itu telah diperkenankan oleh Allah SWT.”

Wednesday, April 13, 2011

AMRU AL ASH BERBAIAT

Amru Al Ash memeluk Islam berkat bimbingan Raja Habsyah. Ini terjadi sebelum pembebasan Kota Mekah.

Raja Habsyah yang bernama Najasyi amat menghormati Amru yang sering berulang alik ke Habsyah dan sering menghadiahkan barang-barang berharga kepadanya. Ketika kedatangannya buat kali terakhir, tersebarlah berita bahawa telah lahir seorang Rasul di Tanah Arab yang menyampaikan risalah tauhid dan berakhlak mulia.

Raja Habsyah bertanya kepada Amru mengapa dia tidak mengikuti Rasul itu. Seterusnya dia berkata, “Ikutilah kata-kataku wahai Amru dan ikutlah dia! Demi Allah, dia di atas kebenaran dan akan mengalahkan orang-orang yang menentangnya.”

Amru lalu kembali ke Mekah dan terus pergi ke Madinah. Dalam perjalanan dia bertemu dengan Khalid Ibnu Walid dan Usman bin Talhah yang juga dari Mekah dan bertujuan untuk berbaiat kepada Rasulullah SAW.

Setelah Khalid berbaiat kepada Rasulullah SAW, tibalah giliran Amru. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, aku akan berbaiat kepadamu asalkan Allah mengampunkan dosa-dosaku yang terdahulu.”

Rasulullah SAW menjawab, “Wahai Amru, berbaiatlah kerana Islam menghapuskan dosa-dosa yang sebelumnya.”

Amru pun berbaiat dan menyerahkan dirinya untuk bersama-sama Rasulullah SAW meninggikan syiar Islam.