Tuesday, August 23, 2011

HADIAH

Isteri Khalifah Umar Al Khattab telah dihadiahkan seutas rantai emas oleh seorang pembesar Rom. Namun ternyata Umar tidak menyenangi perkara ini.

Umar bertanya, “Dari manakah engkau mendapat rantai ini?”

Isterinya menjawab, “Ini adalah hadiah dari isteri pembesar Rom. Bukankah semalam dia telah datang ke sini bersama suaminya?”

“Kalau begitu, engkau tidak berhak memakainya. Ia adalah milik negara!” tegas Umar.

“Mengapa pula? Bukankah isteri pembesar itu yang menghadiahkan rantai ini untukku, bukan untuk negara,” isterinya tidak berpuas hati.

“Sekiranya aku bukan khalifah, adakah engkau pasti akan mendapat hadiah daripadanya? Tentu tidak bukan? Berapa ramai wanita di Madinah, tidak seorang pun yang mendapat hadiah darinya. Oleh itu, hadiah ini ada kaitan dengan negara!” jelas Umar.

Kini barulah isterinya memahami mengapa Umar bertegas dalam hal ini. Dia terus membuka rantai itu untuk diserahkan kepada Baitulmal.

Tuesday, August 16, 2011

HARTA RIBA' WUJUD DI MERATA TEMPAT

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda, "Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya".

Hadis Riwayat Ibnu Majah

KETERANGAN :


Hadis sabdaan Rasulullah SAW ini sangat jelas di hadapan mata kita pada hari ini.

Wednesday, August 10, 2011

KUPILIH IMAN

Zunairah adalah hamba kesayangan tuannya iaitu Abu Jahal. Namun sejak akhir-akhir ini Abu Jahal kehairanan melihatkan perubahan diri Zunairah yang seolah-olah ingin menjauhkan diri darinya

Setelah diselidiki, rupa-rupanya Zunairah telah memeluk Islam. Abu Jahal merasa sangat marah dan menyuruh pembantunya membawa Zunairah ke hadapannya.

Setelah Zunairah tiba, dia ditawarkan kebebasan dan harta asalkan mahu meninggalkan agama barunya itu. Zunairah enggan mematuhi. Ini membuatkan Abu Jahal semakin marah lalu dia mengambil rotan. Dipukulnya Zunairah tanpa belas kasihan sehingga tubuh Zunairah berdarah. Setelah pengsan barulah Abu Jahal berhenti memukulnya.

Esoknya Zunairah sekali lagi ditanyakan tentang keyakinannya. Apabila masih tidak berubah, dia diseksa lagi. Abu Jahal memaksa, “Kembalilah kepada agama nenek moyangmu!”

“Allahu Ahad,” jawab Zunairah dalam kesakitan.

Abu Jahal lalu memanggil seorang hambanya untuk memukul Zunairah. Namun Zunairah tetap mengatakan, “Allahu Ahad.”

Setelah beberapa hari kemudian, Abu Jahal menjemput pembesar-pembesar Quraisy supaya berkumpul. Zunairah diletakkan di hadapan mereka. Abu Jahal pun bertanya kepada Zunairah, “Wahai Zunairah, benarkah kamu mengikut seruan Muhammad itu?”

Zunairah yang sudah lemah dan tidak bertenaga masih dapat menjawab, “Benar, aku tetap mengikuti Muhammad. Aku yakin kepada seruan kebenarannya dan aku tunduk kepada kepimpinannya.”

Lalu Abu Jahal menoleh kepada pembesar-pembesar Quraisy dan berkata, “Wahai saudara-saudaraku, pemuka kaum Quraisy. Apakah kamu semua percaya kepada Muhammad dan mematuhi ajaran-ajaran yang dibawanya?”

Mereka menjawab, “Tidak! Kami tidak akan mahu mengikut Muhammad itu!”

Dengan suara mengejek dan menghina, Abu Jahal berkata, “Kami semua lebih bijak daripada engkau wahai Zunairah. Kami lebih mengetahui mana yang benar dan mana yang salah. Sekiranya apa yang dibawa Muhammad itu benar, maka tentu kami akan mengikutinya terlebih dahulu. Sebab dia adalah anak saudaraku. Dia telah menyampaikan ajarannya kepadaku sebelum engkau. Mahukah engkau bertaubat dan kembali menyembah Lata dan Uzza?”

Zainurah hanya mengatakan, “Allahu Ahad.”

“Sedikit pun tidak boleh dikasihi! Pukul dia!” jerit Abu Jahal.

Perhimpunan pun bersurai dan Zunairah terus diseksa. Seksaan yang begitu parah telah menyebabkan urat sarafnya rosak dan kedua matanya buta.

Menyedari Zunairah telah buta, Abu Jahal lalu mengherdik, “Itulah balasan kerana telah dimurkai oleh Lata dan Uzza.”

“Tidak benar! Lata dan Uzza tidak boleh memberi mudarat atau manfaat kepada manusia. Ia adalah berhala batu yang tidak bernyawa,” Zunairah menyatakan bantahannya.

Maka Abu Jahal lantas menampar mulut Zunairah.

Pada hari yang lain, Abu Jahal datang lagi. Kali ini sikapnya berbeza. Dia berkata dengan lembut, “Zunairah, Lata dan Uzza adalah Tuhanmu. Tuhan nenek moyangmu. Matamu buta disebabkan engkau telah lama tidak melihat Lata dan Uzza. Jangan diikutkan hatimu sehingga tersesat bersama ajaran Muhammad.”

Zunairah menjawab dengan tegas, “Mengapa aku mesti meminta-minta kepada Lata dan Uzza? Sedangkan mereka lebih buta dariku? Mengapa kamu menyembah batu yang tidak dapat berbuat apa-apa? Walaupun aku buta akibat kekejamanmu, namun jika Allah mengkehendaki, perkara itu mudah bagi kudrat dan iradatNya. Allah sahaja yang dapat mengembalikan penglihatanku sebagaimana Dia telah menciptakan segalanya.”

Jawapan ini menyebabkan kemarahan Abu Jahal naik semula. Lalu Zunairah dicampaknya dan dipukulnya dengan rotan berkali-kali. Seksaan yang bertambah kejam itu telah menyebabkan Zunairah dapat melihat semula. Zunairah mengucapkan syukur kepada Allah SWT.

Apabila Abu Jahal menyedari hal ini, dia segera memanggil kaum kafir Quraisy berkumpul melihat Zunairah. Memang benar Zunairah telah dapat melihat kembali. Mereka beramai-ramai berkata, “Muhammad telah melakukan sihir. Ini adalah sihir Muhammad!”

Akhirnya berita ini sampai ke pengetahuan Saidina Abu Bakar. Dengan segera dia datang membawa wang yang banyak untuk menebus Zunairah dan dibebaskannya. Barulah Zunairah dapat menikmati kebahagiaan setelah menderita dengan pelbagai seksaan.

Tuesday, August 9, 2011

LUQMAN HAKIM YANG BIJAK

Seorang wanita dermawan yang sudah berumur telah memberi seekor kambing kepada Luqmanul Hakim. Dia meminta Luqman menyembelih kambing itu dan berpesan, “Berilah bahagian yang terburuk darinya untuk saya makan.”

Setelah Luqman menyembelih kambing itu, dia pun menghantar hati dan lidahnya kepada wanita tersebut.

Beberapa hari kemudian wanita itu memberikan lagi seekor kambing untuk disembelih. Kali ini dia berpesan untuk memberinya bahagian yang terbaik dari kambing itu. Setelah disembelih, Luqman menghantar hati dan lidah juga kepada wanita itu.

Wanita itu kehairanan dan bertanya kepada Luqman, “Mengapakah tuan menghantar hati dan lidah kepada saya ketika meminta bahagian yang terburuk. Dan mengapa kedua-duanya juga dihantar kepada saya ketika memesan menghantar bahagian yang terbaik?”

Luqman menjawab, “Hati dan lidah sangat baik ketika baiknya dan apabila buruk maka kedua-duanya akan menjadi sangat buruk.”

Mendengar jawapan yang bijaksana itu, wanita itu lalu memahami maksud Luqman. Ini kerana hati dan lidah adalah pokok segala kebaikan. Begitu juga sebaliknya. Dari hati dan lidah jugalah lahir segala kejahatan dan keburukan.

Oleh itu hati dan lidah adalah punca segala kejahatan dan kebaikan.

Thursday, August 4, 2011

DUA GOLONGAN YANG AKAN MENJADI PENGHUNI NERAKA

Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya syurga. Sesungguhnya bau wangian syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya”.

Hadis Riwayat Muslim

KETERANGAN :

Kebenaran sabdaan Rasulullah SAW ini dapat kita lihat dari realiti masyarakat yang ada pada hari ini. Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba. Dan ramai perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya jika kita mahu mengatakan bahawa mereka berpakaian pun boleh kerana masih ada secarik kain di atas badan. Dan jika kita mahu mengatakan bahawa mereka bertelanjang pun boleh kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja maka samalah dengan telanjang. Atau pun dia berpakaian dengan pakaian yang sangat nipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar seperti goh unta.

Kedua-dua golongan ini tidak akan menghidu wanginya syurga walaupun semerbak wangi syurga itu boleh dihidu dari jarak perjalanan selama 500 tahun jauhnya.


Dua golongan pasti disiksa,

Jadi penghuni api neraka,

Golongan zalim penganiaya,

Tidak kasihan rakyat jelata.


Kaum wanita aurat dibuka,

Berlenggang lenggok di jalan raya,

Sanggul dililit bagai mahkota,

Tak akan mencium semerbak syurga.