Thursday, August 16, 2012

HARGANYA CUMA 200 DIRHAM



Yunus bin Ubaid adalah seorang saudagar.  Dia menjual pakaian dan barang-barang perhiasan.  Satu hari dia mahu solat di masjid lalu dia meminta adiknya menjaga kedai buat sementara waktu.

Sepeninggalan saudagar Yunus ke masjid, datang seorang Badwi ke kedai itu.  Dia ingin membeli suatu barang perhiasan.  Adik saudagar itu menjualkan barangan tersebut dengan harga 400 dirham sedangkan harga sebenarnya hanyalah 200 dirham.  Apabila diberitahu harganya 400 dirham, badwi itu membelinya tanpa menawar harga.

Dalam perjalanan pulang, badwi telah bertembung dengan saudagar Yunus yang baru pulang dari masjid.  Saudagar Yunus sangat mengenali barang yang dibawa oleh badwi dari kedainya itu.

Lalu dia pun bertanya kepada badwi itu, “Berapakah harga barang yang engkau beli ini?”

Badwi itu memberitahu bahawa dia membeli barang tersebut dengan harga 400 dirham.

Saudagar Yunus sangat terkejut dengan harga yang sekali ganda dari harga sebenar.  Lantas dia pun berkata, “Barang ini hanya berharga 200 dirham sahaja.  Marilah kita kembali ke kedaiku untuk mengambil baki wangmu.”

Badwi itu menolak pelawaan saudagar Yunus dengan berkata, “Tidak mengapalah wahai saudagar.  Saya sudah bersetuju membelinya dengan harga 400 dirham kerana di negeri saya sendiri barang seperti ini berharga tidak kurang 500 dirham.”

Namun saudagar Yunus tetap berkeras untuk mengembalikan baki wang badwi itu.  Dia berkata, “Tidak, engkau mesti mengikutku ke kedai.  Memberitahu yang sebenar dalam agama adalah lebih utama dari dunia dan isinya.”

Oleh itu badwi itu terpaksa menurut kehendak saudagar Yunus dan mereka sama-sama menuju ke kedai.

Setelah wang berlebihan itu dipulangkan, saudagar Yunus menegur adiknya, “Tidakkah engkau malu dan takutkan Allah di atas perbuatanmu itu?  Engkau mementingkan untung yang berlebihan sehingga engkau sanggup meninggalkan berkata benar kepada kaum Muslimin?”

Adiknya menjawab, “Tetapi dia sendiri sudah bersetuju untuk membelinya dengan harga 400 dirham.  Dia membelinya dengan hati yang rela.”

Kemudian saudagar Yunus menasihati adiknya, “Setiap umat Islam hendaklah menghormati saudaranya sebagaimana dia menghormati dirinya sendiri.”

Thursday, August 9, 2012

HAKIM AL UMMAH


Abu Darda’ r.a adalah di antara para sahabat yang amat luas ilmu pengetahuannya.  Beliau dikenali sebagai Hakimul Ummah kerana kebijaksanaannya di dalam Islam.  Kathir bin Qais menceritakan :

Ketika aku sedang duduk bersama Abu Darda’ di dalam masjid di Damsyik, datang seorang lelaki menghampiri kami dan berkata :

“Wahai Abu Darda’, aku datang dari Madinah untuk mempelajari satu hadis darimu kerana aku telah diberitahu bahawa engkau adalah antara orang yang telah mendengarnya langsung dari Rasulullah SAW.”

Abu Darda’ bertanya, “Adakah kamu mempunyai tujuan yang lain di Damsyik?”

Dia menjawab, “Tidak ada.”

Abu Darda’ bertanya lagi, “Adakah kamu pasti bahawa kamu tidak mempunyai pekerjaan lain selain itu di Damsyik?”

Dia menjawab, “Aku datang ke tempat ini adalah semata-mata untuk mempelajari hadis ini.”

Abu Darda’ pun berkata, “Dengarlah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda :

Allah akan memudahkan jalan ke Syurga kepada seseorang yang berjalan di dalam beberapa jarak untuk mencari ilmu pengetahuan.  Para malaikat pula akan menghamparkan sayap-sayap mereka di bawah kakinya dan kesemua makhluk yang ada di langit dan di bumi (sekalipun ikan-ikan di laut) akan mendoakan agar dia memperolehi keampunan.

Kelebihan seseorang yang berilmu dari seorang yang hanya beribadah adalah diibaratkan seperti kelebihan bulan daripada bintang-bintang.  Para ulama merupakan pewaris Rasulullah SAW.  Warisannya bukanlah emas ataupun perak tetapi yang mereka warisi ialah ilmu pengetahuan.  Orang yang mempunyai ilmu pengetahuan akan memperolehi kekayaan yang tidak ternilai harganya.

Abu Darda’ menceritakan :

“Sebelum lahirnya agama Islam, hidupku hanya bergantung kepada perniagaan.  Selepas aku memeluk Islam, aku telah berusaha untuk menggabungkan khidmatku terhadap Allah dengan tugasku tetapi tenyata aku tidak dapat berbuat begitu.  Oleh itu aku memalingkan diriku daripada perniagaan dan memperhambakan diriku ini semata-mata untuk Allah.”

“Seandainya kini aku mempunyai sebuah kedai di perkarangan pintu masjid di mana aku tidak perlu merasa takut akan ketinggalan walaupun satu solat, malah meskipun seandainya kedai itu dapat memberi keuntungan kepadaku dalam sehari sebanyak 40 dinar untuk aku belanjakan kesemuanya di jalan Allah, namun aku masih tidak sanggup kembali untuk berniaga.”

Apabila ada yang bertanyakan mengapa begitu, Abu Darda’ menjawab :

“Ini disebabkan ketakutanku terhadap hisab.”

Wednesday, August 8, 2012

PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN.



Daripada Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, "Hari qiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku 'Al Hair'". Sahabat bertanya, "Apakah Al Hajr itu wahai Rasulullah"? Nabi SAW menjawab, "Peperangan demi peperangan demi peperangan".

Hadis Riwayat Ibnu Majah

KETERANGAN :

Realiti dunia hari ini membuktikan kebenaran sabda junjungan kita Nabi SAW itu. Harta benda melimpah ruah. Banyak alat-alat moden yang dihasilkan oleh teknologi barat dan timur sehingga bertambah banyak alatan dan keperluan hidup. Maka oleh kerana itu ramai orang yang berlumba-lumba untuk mengaut keuntungan dalam membuat dan memperdagangkan alat-alat tersebut. Dan oleh kerana masing-masing tamak dan rakus maka terjadilah perebutan yang mengakibatkan berlakunya peperangan demi peperangan.

Dari semasa ke semasa peperangan berkobar dengan tiada henti-hentinya. Padam di suatu tempat menyala pula di tempat yang lain. Satu sama lain saling cakar mencakari. Semakin maju teknologi, semakin terseksa manusia kerananya.

Sebenarnya teknologi tidaklah bercanggah dengan Islam, tetapi ia mestilah tunduk kepada etika kemanusiaan yang didukung oleh Islam itu sendiri. Sedangkan teknologi yang ditaja oleh dunia barat hari ini adalah berdasarkan kepada kepentingan peribadi dan mengikut telunjuk hawa nafsu yang rakus sehingga teknologi itu digunakan untuk menghancurkan nilai-nilai kemanusian itu sendiri.

Nampaknya, begitulah keadaan yang berlaku dari umur dunia ini, sehinggalah sampai ke titik akhirnya iaitu qiamat.